Mencapai umur persaraan, namun masih menanggung pelbagai hutang dan pinjaman adalah satu mimpi ngeri bagi setiap insan di dunia ini. Duit KWSP yang diterima setelah ditolak dengan pinjaman perumahan, kereta dan bayaran hutang kad kredit menunjukkan nilai defisit. Duit simpanan pula tidak mencukupi untuk menanggung kos perbelanjaan harian keluarga seperti membayar petrol, bil utiliti, pakaian dan makanan. Ini senario yang biasa dalam masyarakat di negara kita. Tentu anda akan terfikir, di saat itu, dan dengan usia yang sudah mencapai 55 tahun, apa lagi yang mampu mereka lakukan?
Senario di atas
disokong oleh satu kaji selidik yang telah dijalankan oleh Bank Negara Malaysia
pada tahun 2010. Kaji selidik ini khusus untuk mengkaji tahap celik wang
rakyat Malaysia. Didapati purata responden yang bakal menghampiri umur
persaraan, mempunyai tahap celik wang yang sangat rendah. Kaji selidik
ini juga mendapati rakyat Malaysia dalam golongan persaraan ini juga kurang
mahir menguruskan kewangan mereka jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia
daripada kumpulan umur yang lain. Agak menakutkan, bukan? Tentu
tiada masalah, jika anda seorang pesara kerajaan yang bakal menikmati wang
pencen setiap bulan. Namun, jika anda seorang pesara swasta, dan tidak
memiliki kemahiran menguruskan kewangan, wang KWSP yang diperoleh mungkin tidak
akan kekal untuk kegunaan jangka masa yang lama.
Statistik jangka hayat
rakyat Malaysia juga menunjukkan purata hayat bagi warga lelaki adalah pada
usia 75 tahun dan bagi wanita pula adalah pada usia 80 tahun. Ini
bermakna, jika anda seorang pesara swasta yang memilih untuk pencen pada usia
55 tahun, maka masih ada baki 20 tahun lagi tempoh ‘survival’ untuk hidup tanpa
gaji bulanan dan hanya berbekalkan wang KWSP tadi sahaja. Bagi wanita
pula, mereka berkemungkinan akan hidup 25 tahun lagi selepas tempoh
persaraan. Mampu kah mereka hidup dan melalui tempoh 20-25 tahun ini
dengan hanya berbekalkan wang KWSP sahaja?
Untuk mengatasi masalah
kekurangan simpanan selepas persaraan, beberapa persoalan perlu dijawab untuk
mengagak kedudukan kewangan anda sekarang. Pertama sekali kira berapa
jumlah simpanan dan aset yang anda miliki, termasuk wang simpanan peribadi, wang
di dalam akaun KWSP, pelaburan Unit Trust, pelaburan emas, jumlah wang yang
diterima daripada polisi insurans yang telah matang, juga aset rumah dan
kenderaan. Kedua, kira berapakah baki pinjaman yang anda ada, seperti
pinjaman perumahan, pinjaman kereta atau pinjaman peribadi. Ketiga,
tentukan jumlah simpanan daripada pendapatan bulanan anda. Semakin
meningkat usia anda, sepatutnya semakin banyak wang yang disimpan setiap
bulan. Setiap kali kenaikan gaji, masukkan sebahagian daripadanya ke
dalam simpanan persaraan. Keempat, kira baki tahun yang anda anda sebelum
anda mencapai umur persaraan. Adakah anda akan hidup selesa menjelang
usia persaraan anda? Atau mungkin kah segala hutang piutang itu akan kekal
sehingga anda bersara kelak?
Apabila semua yang di
atas tadi telah terjawab, maka anda akan dapat mengenal pasti tahap kewangan
anda. Jika simpanan anda kurang, maka mulalah menabung untuk
persaraan. Kerajaan Malaysia juga amat komited dalam membantu rakyat
negara ini melalui tempoh persaraan mereka. Baru-baru ini, Skim Persaraan
Swasta (PRS) telah diperkenalkan sebagai salah satu alternatif untuk menambah
baik taraf kehidupan warga Malaysia khususnya bagi mereka yang bekerja swasta
selepas persaraan mereka nanti.
Skim persaraan swasta
(PRS) yang mula ditawarkan kepada orang ramai pada penghujung tahun 2012 adalah
merupakan satu skim pelaburan yang dibuat secara sukarela oleh pencarum
nya. Skim ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang bekerja swasta
untuk membuat simpanan bagi persaraan mereka. Jangan pula keliru, PRS adalah
berbeza dengan caruman mandatori yang dibuat dalam Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP). Objektif utama tabungan PRS adalah untuk memastikan
setiap pencarum nya mempunyai simpanan dan aset kewangan yang mencukupi untuk
kegunaan menjelang persaraan nanti. Idea mengenai PRS ini adalah hasil
daripada cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kepada
Kerajaan Malaysia.
Dengan hanya memberi
bukti pengenalan diri seperti kad pengenalan atau pasport, seseorang itu boleh
membuka akaun PRS. Setelah akaun dibuka, mereka akan menerima nombor
akaun dan kata laluan untuk digunakan setiap kali ingin melakukan transaksi
dalam dana yang di carum.
Pelabur yang mencarum
dalam PRS boleh memilih dana persaraan berdasarkan beberapa faktor seperti
matlamat, keperluan ketika persaraan dan ketahanan risiko. Pilihan dana
yang ditetapkan juga bergantung kepada faktor usia. Untuk Dana
Berpertumbuhan, bagi mereka yang di bawah umur 40 tahun dan memiliki
maksimum ekuiti sebanyak 70%, pelaburan di luar Malaysia adalah
dibenarkan. Begitu juga di bawah Dana Sederhana, bagi mereka
yang berumur antara 40-50 tahun dan memiliki maksimum ekuiti sebanyak 60%,
mereka juga dibenarkan untuk membuat pelaburan di luar Malaysia. Namun di
bawah Dana Konservatif, bagi mereka yang berumur melebihi 50 tahun,
pelaburan di luar Malaysia adalah tidak dibenarkan. Begitu juga jika
masih jauh lagi tempoh persaraan, anda mungkin boleh menimbangkan untuk melabur
dalam dana yang berisiko tinggi namun boleh memberikan pulangan yang lebih
tinggi. Sebaliknya jika anda hampir bersara, maka lebih baik memilih
bentuk pelaburan yang lebih konservatif dan stabil.
Setiap ahli mempunyai
pilihan sama ada untuk mencarum dalam satu dana atau lebih daripada satu dana
di bawah satu PRS atau mencarum lebih daripada satu dana di bawah PRS yang
berlainan. Jika pencarum merasakan dia perlu untuk menukar dana dalam
satu PRS atau bertukar kepada PRS yang lain, maka mereka boleh berbuat demikian
tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh Penyedia PRS. Namun
pertukaran yang pertama hanya boleh dibuat selepas setahun ahli membuat caruman
pertama. Setiap caruman yang dibuat kepada PRS akan dibahagikan kepada
sub-akaun A dan B. Apabila pencarum PRS sudah mencecah umur persaraan,
mereka berhak untuk mengeluarkan 70% simpanan daripada sub-akaun A mereka
manakala baki 30% daripada sub-akaun B pula boleh dikeluarkan setahun sekali
selepas itu. Majikan juga berpeluang membuat caruman kepada PRS untuk
pekerjanya dengan menentukan jumlah caruman dan memilih dana yang ditawarkan
oleh Penyedia PRS. Walau bagaimanapun, caruman daripada pihak majikan
mungkin berdasarkan syarat-syarat perkhidmatan tertentu\
Sehingga 5 April 2012,
8 Penyedia PRS yang diluluskan adalah seperti AmInvestment Management Sdn Bhd,
– American International Assurance Bhd, CIMB-Principal Asset Management Bhd,
Hwang Investment Management Bhd, ING Funds Bhd, Manulife Unit Trust Bhd, Public
Mutual Bhd dan RHB Investment Management Sdn Bhd.
Satu badan yang diberi
nama Pentadbir Pencen Swasta (PPA) telah ditubuhkan dan berfungsi sebagai badan
yang bertanggungjawab untuk menjadi penyimpan rekod bagi semua data transaksi
pencarum. PPA juga berfungsi sebagai pusat penyelidikan hal-hal yang
berkaitan dengan PRS di Malaysia. Di samping itu, PPA juga bertindak
menjaga kepentingan ahli dan melindungi ahli dalam caruman PRS yang
dibuat. Badan ini berfungsi selaku pemangkin untuk pelaksanaan PRS,
di samping melaksanakan penggalakan dan memberi kesedaran umum tentang
kepentingan PRS kepada orang ramai. Puan Zaiton Mohd Hassan telah
diumumkan sebagai Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta yang pertama, bersama Ahli
Lembaga Pengarah yang lain iaitu Datuk Nozirah Bahari; Datuk Dr. R. Thillainathan;
Ou Shian Waei dan Ahmad Zakie Ahmad Shariff yang telah dipertanggungjawabkan
untuk menerajui Pentadbir Pencen Swasta ini.
Seperti yang diumumkan
oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012,
setiap individu yang mencarum dalam PRS mendapat pelepasan cukai sehingga
RM3,000 setahun bagi 10 tahun pertama bermula dengan tahun taksiran 2012.
Majikan juga turut mendapat faedah. Melalui skim ini majikan akan
diberikan potongan cukai pada kadar yang diwajibkan sehingga 19% daripada
pendapatan pekerja atas caruman kepada PRS yang dibuat bagi pihak
pekerja. Pengecualian cukai turut diberikan ke atas pendapatan yang
diterima daripada skim itu.
Namun harus diingat bahawa risiko pelaburan dalam
mana-mana dana PRS tetap ada. Harga seunit dan pembayaran pengagihan
adalah tidak pada kadar yang tetap. Ada kalanya akan naik dan ada kalanya
mungkin turun bergantung kepada prestasi dana PRS. Pencarum boleh
menyemak pelaburan mereka melalui laman web PPA atau menghubungi terus Penyedia
PRS mereka. Sudah tentu, Penyedia PRS juga akan menghantar penyata
mengenai pelaburan yang dibuat oleh pencarum.
Kesimpulan
Inti pati utama artikel ini ditulis adalah untuk mengingatkan semua
tentang pentingnya untuk merancang persaraan daripada aspek kewangan. Kehidupan
memerlukan wang, dan jika hanya bergantung kepada duit KWSP, berkemungkinan
besar ia tidak akan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas persaraan
nanti. Anda mempunyai pilihan, sama ada bersara
dengan hati yang senang atau terpaksa menagih simpati anak-anak dan terpaksa
bekerja semula bagi menampung beban hutang yang ada.
Skim persaraan swasta
(PRS) adalah salah satu alternatif saranan kerajaan demi untuk membantu rakyat
Malaysia khususnya yang bekerja swasta, menghadapi hari-hari sukar selepas
persaraan. Bagi mereka yang berminat untuk mencarum, maka tetapkan
matlamat persaraan dan profil risiko anda. Daripada situ, anda mungkin
sudah boleh memilih Penyedia PRS dan dana yang anda percayai. Perlulah
diingatkan sekali lagi betapa pentingnya untuk menyimpan wang sebagai persiapan
apabila bersara kelak. Persiapan persaraan yang mencukupi amat penting
bagi memastikan seseorang itu dapat hidup dengan tenang dan sejahtera selepas
persaraan nanti. Semoga artikel ini membantu anda, dan Selamat Mencarum!
Izinkan saya untuk memberikan khidmat yang terbaik
kepada anda.
Hubungi saya Maswati 0197497411/WA/SMS.
Hubungi saya Maswati 0197497411/WA/SMS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan